Suasana Dewan Tun Ahamadshah pada malam aktiviti LDK dijalankan...

Program ini bermula pada jam 2.00 petang, 14 Jan 2010 yang menyaksikan seramai 466 orang pelajar mengambil bahagian. Suasana sekolah dan asrama agak riuh dengan kehadiran para pelajar harian yang sama-sama menghuni asrama sepanjang program berlangsung.

Program yang diilhamkan oleh Unit Kaunseling dan Unit Disiplin direalisasikan dengan komitmen guru-guru yang bertungkus lumus memastikan semua slot berjalan dengan baik. Rasanya ucapan tahniah patut diberikan kepada semua guru yang terlibat (Tapi macam belum lagi... Tapi semua pun ikhlas menjalankan tugas...).


Beginilah gaya pelajar dan guru semasa menjalankan aktiviti LDK

Slot disebelah siang dipenuhi dengan ceramah dan biasanya ceramah seperti ini akan menyebabkan pelajar mengantuk. Salah satu sebabnya ialah kurang rehat terutamanya apabila masa tidur dalam tentatif program adalah jam 11.30 malam dan pelajar perlu bangun seawal 3.15 pagi untuk mengikuti program seterusnya pada jam 3.30 pagi.


Antara guru-guru yang terlibat dalam aktiviti LDK

Slot yang saya rasa agak menarik perhatian pelajar adalah Slot LDK1 & LDK2 yang sekurang-kurangnya meminta setiap ahli kumpulan mengambil bahagian. Walau bagaimanapun, melalui pemerhatian saya, terdapat pelajar yang berat mulut menyebabkan mereka dipilih untuk dibuang negeri (Salah satu aktiviti dalam LDK). Memang tidak patut, saya berpendapat bahawa fasilitator seharusnya mengambil langkah proaktif untuk melibatkan setiap ahli kumpulan untuk menyumbangkan sebarang idea supaya semangat dalam kumpulan dapat disemarakkan lagi dan sebarang jurang dapat dirapatkan. Mungkin dalam program yang akan datang perkara ini boleh diberikan perhatian.

Slot yang paling disukai pelajar (setakat yang saya tahu) adalah Slot Malam Penghayatan dimana hampir semua pelajar menitiskan air mata mereka dengan penuh keikhlasan dan kesedaran. Apa pun, semua ini akan kembali semula kepada disiplin dan usaha pelajar tersebut untuk mengubah dan berubah kepada suatu peringkat yang lebih baik dalam kehidupannya. Semoga berjaya....


Cikgu Lim Lay Yong berkongsi pengetahuan dengan pelajar tentang agama Buddha dan Taosim.

Sepanjang program berjalan, saya ditugaskan selaku Ketua Unit Moral yang bertanggungjawab mengendalikan 35 orang pelajar non-muslim semasa kawan-kawan muslim mereka mengerjakan solat. Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang terlibat dalam Unit Moral iaitu Cikgu Edward, Cikgu Roscalia, Cikgu Lim Lay Yong dan Cikgu Yee Wai Chiong yang komited menjalankan tugas yang diamanahkan.

CATATAN: Bolehkah dalam program yang akan datang, Ketua Unit Moral digantikan dengan orang lain..??