Gambar hiasan ini di ambil semasa mengawasi kelas 5 PKA2 (2009) untuk program Gerak Gempur. Mengawasi pelajar untuk program Gerak Gempur ini, teringat pula zaman persekolahan suatu ketika dahulu. Perasaan geli hati dan rindu bermain di ruang fikiran.
Rupanya, sudah 15 tahun saya meninggalkan persekolahan menengah. Situasi masih sama. Ada pelajar yang tidur dan ada yang terus bersemangat menjawab soalan... Apa yang membezakan mereka? Hanya pen dan kertas... Yang tertidur hanya mampu memegang dan mengenggam pen dan kertas sambil bermimpi untuk mendapat markah yang baik... Yang terus menulis pula mampu memegang, mengenggam, melakar dan mewarkahkan sebuah impian yang mempunyai seribu kemungkinan untuk berjaya..
Mengimbas kembali sumbangan pen dan kertas sepanjang melayari hidup sebagai pelajar sekolah, saya berasakan bahawa semua orang yang bersekolah, celik huruf dan boleh menulis mata sebenarnya telah mendapat suatu ilmu yang boleh mengegarkan dunia. Dunia yang kebanyakan masanya cuba bermimpi untuk suatu keadaan yang lebih baik walaupun dalam realiti sebenarnya.. ia mungkin tidak wujud.Saya tidak mempunyai kelulusan yang terlalu baik dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris tetapi sudah cukup untuk menulis dua atau tiga baris ayat yang mudah dibaca dan difahami oleh semua orang. Semuanya atas jasa pen dan kertas....
Kita mungkin terlupa mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mencipta pen dan kertas tapi dengan menggunakannya semaksima yang mungkin, sudah cukup untuk menunjukkan penghargaan kepada mereka.
CATATAN: Kadang-kadang pen adalah lebih tajam dari mata pedang....