Kursus Pengurusan Kokurikulum yang telah dijalankan sejak 2007, diteruskan pada tahun ini dengan misi untuk menyeragamkan dan memperkemaskan sistem fail setiap Unit Kokurikulum yang diterajui oleh Ahli Jawatankuasa yang baru.

Tahniah dan terima kasih kepada Encik Nizam yang telah mengendalikan kursus ini dengan cemerlang.


Seperti tahun-tahun yang sudah, hanya Ahli Jawatankuasa Tertinggi sahaja yang dipanggil untuk menghadiri kursus iaitu: Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Dalam kursus ini, pelajar akan didedahkan kepada cara penyediaan kertas kerja, surat menyurat, penulisan minit mesyuarat, penulisan laporan mingguan dan aktiviti, pengurusan kehadiran ahli, pengurusan akaun kelab dan beberapa lagi perkara yang berkaitan.

SM Teknik Tawau mempunyai 18 unit Sukan/Permainan A & B, 13 unit kelab & persatuan dan 9 unit persatuan beruniform. Dengan jumlah 40 unit dan 4 wakil pelajar setiap unit, lebih kurang 160 pelajar telah menghadiri kursus tersebut. Faktor keselesaan mungkin perlu diambilkira, kerana BMG1 agak sempit untuk jumlah sebesar itu. Namun, beberapa aktiviti lain sedang berlangsung dalam masa yang sama semasa kursus ini dijalankan. Rasanya perkara ini bolehlah diajukan dalam perjumpaan yang akan datang.

Perancangan yang baik perlu diiringi dengan pelaksanaan yang baik juga. Semoga Jawatankuasa Induk Kokurikulum akan terus memantau dan memastikan supaya kursus ini akan memberikan manfaat kepada semua peserta seterusnya unit itu sendiri.

CATATAN: Harapan agar sistem fail akan lebih baik pada tahun ini.