Gambar kenangan Siri Perlawanan Persahabatan ke-3 menentang Pasukan SMIT. Dari kiri: Berdiri - Syazmi, Khairil, Qayyum, Nasir, Syazrin, Maxmillian, Kado. Duduk - Idika, Zulkifli (Icok), Hazrim, Saufi, Andi, Said.

Teknik U18 Boys meneruskan rekod tanpa kalah dengan membelasah pasukan SM Islamiah Tawau (SMIT) dengan jaringan 7 - 2. Siri Perlawanan Pesahabatan ke-3 ini berlangsung pada jam 08:30 pagi di Padang Teknik Tawau.

Pasukan SMIT yang diwakili oleh 8 pelajar tingkatan 5, disertai oleh beberapa pelajar tingkatan 1, 2 dan 3 turun dengan semangat kesukanan yang tinggi. Namun, segala kelebihan memihak kepada pasukan tuan rumah yang memiliki fizikal dan tahap kecergasan yang lebih baik.


Inilah pasukan SMIT yang cuba memberikan tentangan namun gagal...

Gol pertama hadir seawal mint ke-7, apabila Zulkifli yang melakukan hantaran lintang ditampan masuk oleh pemain pertahanan SMIT menewaskan penjaga golnya sendiri. Teknik U18 terus mengasak dari kanan dan kiri melalui hantaran lintang yang cantik dari Maxmillian dan Zulkifli. Namun SMIT terus bertahan untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi lagi.

Namun segalanya mula berubah pada 5 minit kemudian apabila Khairil yang cuba melakukan hantaran tinggi kepada penyerang rupanya menghasilkan gol ke-2 apabila penjaga gol SMIT yang off-position tidak dapat mencapai bola tinggi tersebut. Khairil meraikan gol yang tidak sengaja ini dengan gembira.... (Hehehe... Nasib saja bah ni...)

Gol ke-3 dijaringkan oleh Hazrim selepas merebut bola daripada pemain pertahanan SMIT dan menewaskan penjaga gol SMIT dengan tindakan penyudah yang kemas. Selang dua minit, Teknik U18 menambah gol lagi melalui tandukan Andi yang menerima hantaran lintang yang cantik dari Zulkifli. Maxmillan terpaksa dikeluarkan apabila mengalami masalah kekejangan otot dan digantikan oleh Risman.


Dari Kiri: Ahmad Fakhrurazi, Utsaz Sukri dan McManus Sing berbincang sesuatu sebelum perlawanan bermula...

Qayyum yang gagal menyempurnakankan tiga peluang awal, akhirnya menemui sentuhan gol. Syazrin yang menghantar trough ball yang cantik menemui kaki Qayyum yang melepasi pertahanan SMIT dan menewaskan penjaga gol sebelum menolak bola masuk untuk gol ke-5 Teknik U18.

SMIT yang berkerja keras bertahan daripada serangan Teknik U18, akhirnya memperolehi gol pertama melalui penyerang no. 7 mereka yang bermain dengan cemerlang sejak awal permainan. Kesian penjaga gol... kena gantung bah...

Separuh masa pertama tamat pada kedudukan 5-1.


Perbincangan pasukan semasa waktu rehat separuh masa...

Dalam separuh masa kedua, beberapa perubahan dilakukan oleh Ketua Jurulatih Teknik U18 iaitu mengeluarkan Syazrin dan Idika, dan memasukkan semula Maxmillian untuk berganding dengan Andi di bahagian tengah. Ternyata gandingan ini amat lemah dan bahagian tengah pasukan SMIT mula menguasai babak kedua dengan lebih baik.

Serangan demi serangan yang dilakukan ke atas benteng Teknik U18 akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan satu sepakan penalti akibat kekasaran Saufi ke atas penyerang no. 10 mereka. Salam yang masuk menggantikan Syazmi tewas untuk kedudukan 5-2.


Salam tewas dalam sepakan penalti setelah melakukan foul dalam percubaan pertama..

Selepas itu, Teknik U18 meningkatkan serangan melalui gerakan pemain sayap dan berjaya menambah 2 gol lagi melalui Qayyum yang mencipta hatrik dalam perlawanan ini. Gol ke-6 adalah melalui hantaran lintang Risman yang ditanduk kemas oleh Qayyum dan Gol ke-7 adalah hasil sepakan gol dari Salam yang terus disambut oleh Qayyum yang melepasi perangkap offside sebelum menewaskan penjaga gol lawan. 

Ksesluruhannya, corak permainan Teknik U18 tidak banyak berubah berbanding sebelumnya. Ia lebih kepada permainan individu berbanding permainan berpasukan. Kelemahan yang telah disebutkan sebelum ini masih belum diatasi dan ia pastinya akan membawa padah sekiranya bertemu dengan lawan yang lebih kuat.

Pemain yang harus mendapat pujian dalam perlawanan ini: Idika, Hazrim, Qayyum dan Zulkifli.

CATATAN: Budak-budak bolehlah dibelasah....